BUKIT KAYU HITAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 101 tong gas petroleum cecair (LPG), bernilai RM28,000 dan menahan seorang wanita dalam serbuan di sebuah premis Kampung Changhai, Changlun dekat sini, semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Kubang Pasu, K Muniandy, berkata serbuan jam 11.30 pagi, semalam dilakukan hasil risikan selama seminggu selepas mendapat maklumat awam.
“Hasil serbuan, kami mendapati rumah wanita itu dijadikan stor tempat menyimpan tong gas LPG yang dikategorikan sebagai barang kawalan tanpa lesen sah, sebelum dijual kepada penduduk kampung.
“Oleh itu, kami merampas 48 tong gas berkapasiti 12 kilogram (kg), 37 tong gas, 14kg dan 16 tong gas kosong bernilai keseluruhan RM28,000 termasuk merampas dua lori bernilai RM26,000,” katanya ketika ditemui di Stor KPDNHEP di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muniandy berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 56 tahun itu mengaku sudah menjalankan perniagaan berkenaan di rumahnya sejak sebulan lalu dibantu oleh dua anak lelakinya.
Katanya, wanita itu sudah memohon lesen, namun belum dapat kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Tong gas dipercayai daripada pembekal dari Perlis selepas penemuan resit pembelian di rumah berkenaan.
“Wanita terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan selepas diambil keterangan,” katanya.
Muniandy, berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Sumber